Friday 12 August 2011

Tentera khidmat 10 tahun dapat pencen?
IPOH 20 Ogos - Anggota tentera yang berkhidmat dalam tempoh 10 tahun berpeluang menikmati pencen jika cadangan mengenainya diluluskan dalam Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan digubal tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, pada masa ini, hanya anggota tentera yang berkhidmat dalam tempoh 21 tahun menerima pencen minimum iaitu RM720 sebulan.
Katanya, anggota yang berkhidmat kurang daripada tempoh itu tidak menerima pencen melainkan mereka terkorban dalam peperangan.
"Kita mencadangkan satu formula pencen munasabah untuk diberikan kepada anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan bawah tempoh 21 tahun dan kita mencadangkan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog dengan veteran ATM Perak yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani di sini hari ini.
Kementerian Pertahanan sebelum ini bercadang mewujudkan Akta Veteran ATM bagi memastikan kebajikan pesara tentera terus terjamin.
Akta itu akan memberi kekuatan kepada JHEV ATM dalam usaha menyeluruh memastikan nasib mereka yang pernah berjasa kepada negara sentiasa terjaga.
Zulkiflee berkata, pihaknya berharap dapat menyelesaikan draf cadangan akta tersebut menjelang hujung tahun ini sebelum ia dibentangkan pada Parlimen akan datang.
Katanya, setakat ini, pihaknya sudah mengadakan sesi dialog dengan lebih 2,000 veteran ATM di 11 negeri bagi mendapatkan pandangan mereka sebelum akta itu digubal sebagai undang-undang.
"Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini dan akta ini dapat dikuatkuasakan pada tahun depan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan penubuhan Majlis Veteran ATM yang bertanggungjawab untuk menggaris dasar serta hala tuju kepentingan veteran ATM.
Sementara itu, Muhammad pula berharap veteran-veteran ATM mengemukakan masalah-masalah yang dihadapi dan cadangan untuk kebaikan mereka sebelum akta tersebut digubal.
Katanya, selepas akta itu digubal, hanya apa yang termaktub di dalamnya akan dilaksanakan oleh kerajaan.
"Kita harap sebelum akta ini diadakan, kadar baru elaun tambahan dan pencen hilang upaya dapat diberi kepada bekas tentera yang tamat perkhidmatan sebelum 1 Januari 2001 termasuk yang berjuang menentang komunis.
"Ini kerana terdapat 292 bekas tentera yang cacat semasa bertempur dengan komunis dan mereka merasakan jasa mereka tidak dihargai," katanya.

No comments:

Post a Comment