Sunday 14 August 2011

Rang Undang-Undang Veteran belum diputus

KUALA LUMPUR 24 Mei - Keputusan sama ada Rang Undang-Undang Veteran akan dibaca untuk kali kedua di Dewan Rakyat Jun ini bergantung kepada tahap sokongan yang diterima Kementerian Pertahanan daripada veteran tentera.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada guna jika bacaan itu diteruskan tanpa mendapat sokongan daripada pihak yang bakal menerima faedah daripada usaha tersebut.
Sambil mengakui terdapat beberapa pihak menentang pembacaan itu diteruskan atas kepentingan peribadi, beliau menegaskan apa juga tindakan diambil kementerian tetap bersandarkan kepada keputusan majoriti veteran tentera.
"Kita akan lihat sejauh mana sokongan yang diberikan veteran tentera termasuk daripada kepimpinan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM). Jika jelas akta ini perlu dibawa untuk bacaan kali kedua, kita akan teruskan.
"Jika tidak, kita mungkin ditangguhkan ke tahun depan. Tidak mustahil juga kita batalkan terus dan semua itu bergantung kepada tahap sokongan veteran tentera di seluruh negara," katanya.
Ahmad Zahid menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan 10 Tahun Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin serta Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

No comments:

Post a Comment